Pendakian Bermula Badrul_Hisham_Shaharin

Bermula dari anak kampong biasa beliau mendaki puncak dan matang dalam perjuangan. Beliau juga banyak terlibat dalam dunia aktivis peringkat antara bangsa. CheGuBard pernah menghadiri beberapa seminar dan latihan yang dianjurkan oleh pertubuhan antarabangsa. Antaranya, penglibatan awalnya di peringkat antara bangsa ialah kursus media mengenai teknik untuk berhadapan dengan media elektronik yang dianjurkan oleh Frederick Naumann Stiftung di Bangkok, Thailand pada Julai 2003. Selain daripada itu, beliau turut mengikuti seminar mengenai kerelevanan parti-parti berunsur sosial demokrat dan gerakan progresif Asia Timur dan Asia Tenggara yang dianjurkan oleh Frederick Ebert Stiftung di Manila, Filipina dan banyak lagi

Pada tahun 2006, beliau telah terpilih antara 20 aktivis muda Asia untuk menyertai latihan hak asasi manusia yang dianjurkan oleh Yayasan Memperingati Tragedi 18 Mei di Gwangju, Korea Selatan. Oleh kerana keaktifannya dalam bidang kemasyarakatan dan ketekunannya, beliau telah terpilih sebagai pelajar terbaik yang justeru melayakkan beliau untuk mendapat biasiswa penuh tajaan Kerajaan Korea Selatan untuk menyambung pelajaran dalam bidang Sarjana di Universiti Sungkonghae, Seoul, Korea Selatan.

Kesempatan berada di bumi asing telah dipergunakan sepenuhnya untuk menimba pengalaman dan membina jaringan antarabangsa. Beliau berpeluang untuk menyaksikan bagaimana pergerakan sosial di Korea Selatan berkembang.

Beliau sering mendapat undangan sebagai panel dalam banyak forum antara bangsa. Beliau juga merupakan setiausaha jawatankuasa penaja ASEAN Activist Forum yang dipengerusikan oleh NurKholis seorang aktivis muda Indonesia yang juga Timbalan Pengerusi Komisi Hak Asasi Indonesia.